Tuesday, November 28, 2017

KENAPA NABI LAHIR PADA HARI ISNIN DAN BULAN RABIULAWAL?




Ahli sejarah Islam kebanyakannya menulis bahawa Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin, pada bulan Rabiulawal. Ia pastinya sesuatu yang amat menarik kerana hari Isnin dan bulan Rabiulawal adalah hari dan bulan yang tidak terkenal di kalangan orang Arab dan tidak ada peristiwa atau catatan sejarah besar yang berlaku pada hari dan bulan ini.

Apakah rahsianya?

Hari Isnin – kitab-kitab sirah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad dilahirkan (maulid) pada hari Isnin. Bukan itu sahaja, peristiwa hijrah ke Madinah, hari memasuki Makkah (tahun ke-8 H) dan hari kewafatan Baginda, semuanya berlaku pada hari Isnin. Bagi orang Arab, hari Isnin adalah hari yang tidak terkenal (majhul) di kalangan mereka. Tidak seperti hari Jumaat yang terkenal di kalangan orang Arab dengan Saiyyidul Ayyam (penghulu segala hari). 

Bulan Rabiulawal – Baginda SAW dilahirkan pada bulan Rabiulawal. Bulan ini tidak terkenal (majhul) di kalangan orang Arab. Orang Arab lebih mengenali bulan Muharram, Rejab, Zulhijjah dan Zulkaedah umpamanya kerana ia adalah bulan-bulan yang diharamkan berperang (Al-Asyhur al-Hurum). Bulan Ramadan dikenali kerana ibadah puasa di dalamnya. Bulan Syawal dikenal kerana ia adalah bulan bermulanya ibadah haji dan ada Hari Raya Fitrah (Aid al-Fihtri) padanya.

Hakikatnya, hanya Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui. Walau bagaimanapun, mengikut pengamatan Ahlul Azwaq (orang-orang yang mendapat limpahan rasa kemanisan yang dapat melihat rahsia kurniaan Allah), mereka mengatakan: 

“Allah mengkehendaki agar kelebihan yang pada Nabi ini, kelebihan yang tersendiri dan istimewa, yang kelebihan dan keistimewaan itu tidak mengikut yang lain.”

Nabi Muhammad SAW tidak dilahirkan pada bulan-bulan dan hari-hari besar yang mempunyai fadilat-fadilat yang besar dan berlaku peristiwa penting yang bersejarah dan masyhur kerana Allah ingin menunjukkan kelebihan dan keistimewaan serta ketinggian martabat dan kedudukan Baginda SAW yang tersendiri di sisi Allah Taala. 

Oleh itu, Rasulullah SAW mulia bukan disebabkan oleh hari dan bulan. Bukan juga disebabkan oleh keadaan, masa dan waktu. Akan tetapi hari, bulan, keadaan, masa dan tempat dan waktu itu menjadi mulia kerana kelahiran dan kewujudan Rasulullah SAW. 

Hari Isnin dan Rabiulawal menjadi sungguh mulia kerana Rasulullah SAW dilahirkan padanya. Dengan kelahiran agung dan mulia ini, maka terbit pula peristiwa-peristiwa dan ibadah-ibadah yang besar. Para ulama mengatakan, jika tidak kerana kelahiran Rasulullah SAW, tidak akan berlaku peristiwa Bi’tah (kebangkitan menjadi Rasul), Nazulul Quran (penurunan al-Quran), Israk Mikraj, peristiwa hijrah, kemenangan dalam Perang Badar, pembukaan Makkah dan lain-lain. 

Tanah Madinah yang tandus dan kering kontang menjadi mulia kerana menjadi tempat tinggal Rasulullah SAW. Madinah dan Masjid Nabawi menjadi mulia dan menjadi tempat ziarah umat seluruh dunia kerana adanya jasad Nabi yang mulia di dalamnya.

Oleh: Ustaz Muhadir Haji Joll. Penasihat Syariah Galeri Ilmu.  Majalah Q&A (Bil: 13)

No comments:

Post a Comment