Monday, December 17, 2012

Q&A Bil 13 : Rasulullah Bukan Manusia Biasa

" AKU NABI PEMBAWA RAHMAT"

Kandungan menarik Majalah Q&A Isu 13: -


      1. Isu : Sayang dan Rindu Kepada Rasulullah (m.s 12)
Kita tahu bahawa mencintai Rasulullah SAW termasuk dalam kesempurnaan iman. Rasullullah bersabda, daripada Anas bin malik, “Tidak sempurna iman seorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihinya lebih daripada dia sayang pada dirinya, ibubapanya, anak-anaknya atau manusia lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Apabila perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW merupakan persoalan iman, ia perlu dibaja dengan sebaik mungkin. Perasaan rindu sebagai bukti bahawa adanya perasaan sayang di dalam hati seseorang. Ada rindu ada sayang, tiada rindu tiadalah sayang.

2. Aku Dan Hadis. (m.s 77)
Terdapat sebuah hadis yang popular dan sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis dengan lafaz di atas didapati dicatatkan oleh Imam al-Ghazali (w. 505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' ‘Ulumiddin. Apa status hadis ini? Sahih atau palsu?

3.  Aku dan al-Quran. (m.s 82)
Kebolehan membayangkan (kuasa imaginasi), penggunaan intuitif, pemahaman secara menyeluruh objektif kehidupan berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan sunnah, semua ini adalah keupayaan otak kanan. Mengapa manusia kurang kreatif? Adakah semata-mata kerana kurang menggunakan otak kanan?


      4. Asmaul Husna. (m.s 32)
Bagaimanakah manusia mampu memahami Allah dengan nama-nama-Nya? Mengetahui, memahami dan meyakini sifat dan nama Allah SWT merupakan jalan kepada manusia untuk mengenal-Nya. Pengetahuan berkenaan sifat dan nama ini merupakan saluran bagi manusia untuk mengenal Allah SWT secara langsung.

5.      Bicara Mufti. (m.s 5)
Benarkah Syiah berasal dari Yahudi? Syiah sebagai suatu akidah dan pemikiran tidak lahir sekaligus. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan melalui beberapa peringkat. Ramai pengkaji dahulu dan sekarang menegaskan bahawa Ibnu Saba’ adalah pengasas bagi Mazhab Syiah.

6.      Da’i Moden. (m.s 75)
Seorang pendakwah perlu memahami konsep al-Hikmah, al-Mauizah dan al-Jidal dalam berdakwah. Apa maksud istilah di atas?

7. Debaran Mabrur (m.s 102)
Hukuman atau denda terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan adalah perkara biasa. Demikian juga dalam ibadah haji. Sesiapa yang melakukan kesalahan seperti melakukan perkara yang dilarang ketika sedang berihram, akan dikenakan denda atau ke dam ke atasnya. Apakah maksud dam?

8. Disiplin Ilmu (m.s 81)
Islam adalah agama yang mencakupi tiga komponen utama iaitu iman, Islam dan ihsan, atau disebut berdasarkan bidang ilmu yang berkaitan sebagai akidah, fikah dan akhlak. Apa peranan ilmuan Islam dalam mengembangkan ilmu ini?

9.  Fiqh Annisa. (m.s 84)
Sesetengah wanita mengandung mendapati darah keluar dari farajnya seperti darah haid. Oleh kerana tidak ada nas yang nyata, maka ulama memberikan pendapat berdasarkan ijtihad masing-masing, adakah darah itu dikira haid ataupun istihadah (penyakit)?

10.  Hadis Akhir Zaman. (m.s 119)
Antara peristiwa akhir zaman adalah syiar-syiar Islam diinjak-injak di beberapa buah  tempat namun di tempat lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa di suatu tempat, namun di tempat lain mereka masih disanjung dan dihormati.

11.  Halaqah Faraid. (m.s 54)
Bagaimanakah anak lelaki mewarisi pusaka? Bahagian anak lelaki tidak tetap dalam agihan pusaka mengikut hukum faraid. maksudnya bahagian anak lelaki tertakluk kepada kedudukan sesuatu kes iaitu perlu dilihat siapakah yang turut mewarisi bersama anak lelaki itu.

12.  Halaqah Firman. (m.s 8)
Perbezaan satu huruf memberikan maksud yang berbeza dalam bahasa Arab. Apa perbezaan antara kalimah al-Ibad dan al-Abid dalam al-Quran?

13.  Halaqah Hadis 40. (m.s 30)
Dalam perubatan moden, ilmu yang membincangkan proses kejadian embrio hanya berlaku pada abad kelima belas Masihi. Namun, perkara ini telah disentuh di dalam hadis Nabi SAW dengan begitu terperinci.


      14.  Halaqah Muamalat.(m.s 104)
Kita kerap mengatakan ‘aku hutang’ dan ‘aku pinjam’ terhadap sesuatu benda? Sebenaranya ada syarat-syarat yang membezakan antara benda yang dihutang dan dipinjam. Apakah syarat-syarat tersebut?

15. Halaqah Suluhan Ibadah. (m.s 69)
Mengangkat jari telunjuk ketika membaca tasyahhud awal dan akhir adalah sunat. Pelbagai cara ketika mengangkatnya mengikut pandangan mazhab. Bagaimanakah cara mengangkat jari telunjuk ketika tasyahhud?

No comments:

Post a Comment